Syor CUEPACS babitkan tujuh badan beruniform awam

Kuala Berang: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kini pada peringkat akhir merangka kertas kerja untuk memuktamadkan cadangan pelarasan skim gaji dan gred baru bagi kakitangan tujuh badan beruniform sektor awam. 
Sebaik siap, ia akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN). 

Tuntutan itu merangkumi penyelarasan gred dan gaji kakitangan lebih 100,000 penjawat awam tujuh badan beruniform berikutan bidang tugas yang semakin mencabar dan berisiko tinggi” Omar Osman, Presiden CUEPACS

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata tuntutan itu merangkumi penyelarasan gred dan gaji kakitangan lebih 100,000 penjawat awam tujuh badan beruniform berikutan bidang tugas yang semakin mencabar dan berisiko tinggi.

Beliau berkata, penyelarasan itu membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Penjara, Jabatan Imi-gresen dan pihak berkuasa tempatan.

Tuntutan berbeza

Katanya, setiap kesatuan badan beruniform sudah menghantar memorandum dan kertas kerja tuntutan masing-masing sebelum diselaraskan CUEPACS dan diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan. 
“Kita dapati kertas kerja diserahkan kepada CUEPACS oleh kesatuan setiap badan beruniform mengandungi tuntutan berbeza. 

“Jadi, kita perlu selaraskan selepas perjumpaan dengan KSN, Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebulan lalu.

“Pelarasan gred dan skim gaji baru ini perlu berikutan bidang tugas anggota dan kakitangan badan beruniform ini jauh lebih mencabar dan berisiko berbanding dulu.

“Sebagai contoh, dalam kes membabitkan kakitangan KDRM, JPJ dan Imigresen ada yang hingga menyebabkan kecederaan, disimbah asid, patah gigi, manakala JBPM pula perlu memadam kebakaran di bangunan tinggi dan berisiko,” katanya selepas bengkel khas anggota beruniform sektor awam di Akademi BOMBA Wakaf Tapai di sini, semalam. 

Omar berkata, pihaknya mahu melihat keseragaman semua badan beruniform, termasuk penetapan pangkat kerana setakat ini tiada kesamarataan berikutan terikat dengan akta badan beruniform berkenaan.

Sementara itu, Omar turut mengingatkan penjawat awam tidak menghadiri mana-mana demonstrasi termasuk bantahan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dianjurkan pihak tertentu.