Wednesday, June 19, 2013

KEPUTUSAN TIDAK BOLEH BERHIMPUN MUKTAMAD - POLIS


KUALA LUMPUR 19 Jun - Polis bertegas tidak membenarkan penganjur mengadakan perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Padang Merbok di sini Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, keputusan polis itu selari dengan keputusan yang telah diputuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, baru-baru ini.

Katanya, kawasan Padang Merbok merupakan milik DBKL dan bergantung kepada pihak berkenaan untuk membuat keputusan.

"Datuk Bandar telah memberi kenyataan yang memutuskan perhimpunan tersebut tidak boleh diadakan di situ dan sebagai tuan punya kepada kawasan itu, DBKL mempunyai hak.

"Itu selari dengan kehendak Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan setiap kebenaran berhimpun perlu mendapat kebenaran pemilik dan penganjur perlu mengemukakan kebenaran pemilik untuk mengadakan perhimpunan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pertemuan pegawai polis kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ayub Yaakob di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment