Tuesday, January 6, 2015

Penguatkuasa DBKL

KUALA LUMPUR: Seorang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipenjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu seorang peniaga, tujuh tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap P.Sugumaran, 44, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Sugumaran dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Sugumaran menjalani hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda itu. 

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam S.Ramesh yang mewakili tertuduh untuk penangguhan perlaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Sugumaran didakwa memperdaya M.Sathivelu untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM600 dan RM1,200 melalui dua transaksi ke akaun AmBank (M) Berhad miliknya bagi mendapatkan kelulusan enam tapak pasar malam di Lorong Tunku Abdul Rahman Masjid India masing-masing pada 11.34 pagi 7 Mei 2008 dan 1.42 pagi 29 Mei 2008 di AmBank Cawangan Jalan Pudu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lokman Kasim, memanggil empat saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment