Monday, May 25, 2015

Siapa Zalim? Penguatkuasa DBKL?

Isnin, 25 Mei 2015
Isnin, 6 Sha'ban 1436

DBKL mengapa kami asyik jadi sasaran?
KUALA LUMPUR - 24 MAY 2015 

Surat terbuka kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Nama saya Ahmek tetapi ramai kanak-kanak panggil saya pak cik aiskrim sebab saya penjual ais krim. Di mana ada sekolah, di situlah tempat kerja saya. Anak-anak sekolah adalah pelanggan saya.

Untuk pengetahun Datuk Seri, saya adalah antara 40 peratus rakyat Malaysia yang berstatus berpendapatan rendah. Meskipun kehidupan saya belum ke peringkat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi saya perlu sentiasa sihat untuk menjual ais krim.

Dengan pendapatan daripada jualan aiskrim, saya perlu menampung kehidupan saya sekeluarga bersama ibu dan bapa yang sudah uzur di flat DBKL di Cheras.

Saya bukan peniaga ais krim yang bermodal besar. Dengan motor buruk yang sudah 'dewasa' umurnya, saya membawa setong kecil tempat ais krim dan satu tin yang diisi kon ais krim. Ais krim yang saya bawa untuk jualan bukan banyak - nilainya RM100 sahaja.

Saya bukan berniaga seorang tetapi berniaga bersama-sama rakan-rakan yang turut menjadikan kanak-kanak sekolah sebagai pelanggan kami. Meskipun begitu kami bersaing secara sihat. Asalkan ais krim yang dijual laku, ia sudah memadai.

Saya membuat surat terbuka kepada Datuk Seri untuk melahirkan rasa terkilan tentang sikap para penguatkuasa DBKL. Punyalah banyak kategori peniaga di Kuala Lumpur, mengapalah peniaga ais krim seperti kami ini sering diganggu.

Baik saya, mahu pun rakan-rakan senasib seperti saya - kami tidak menganggu lalu lintas, tidak membuang sampah merata-rata, tidak menyebabkan longkang tersumbat malah sentiasa menjaga kebersihan supaya ais krim yang kami jual tidak memudaratkan anak-anak.

Masalahnya mengapa para penguatkuasa Datuk Seri suka 'memburu' kami, mencari kesalahan kami.

Tindakan penguatkuasa Datuk Seri yang kerap menyerbu saya dan rakan-rakan saya sebaik sahaja keluar daripada van hijau semata-mata untuk periksa lesen motor, bertanyakan topi keledar, melihat pakaian dan tong ais krim amat menyusah dan memalukan kami. Apatah lagi serbuan dibuat ketika ramai kanak-kanak sedang berebut membeli aiskrim.

Muka memang terasa tebal apabila penguatkuasa yang datang bertanya macam-macam soalan di khalayak ramai seolah-olah kami penjenayah. Tetapi memandangkan untuk meneruskan kehidupan, kami pasrah dalam terpaksa.

Tahukah Datuk Seri, apabila penguatkuasa menyerbu saya, berapa kerugian yang saya alami? Mungkin bagi Datuk Seri RM10 atau RM20 tidak ada nilai tetapi tidak pada saya. Nilai RM10 itulah yang saya kumpul selama 30 hari untuk membayar sewa rumah, membeli keperluan dapur dan memberi 'kehidupan' kepada ayah dan ibu yang uzur.

Saya bukan penjenayah. Saya berniaga ais krim kerana saya tidak ada kemahiran lain. Ais krim yang paling mahal saya jual pun berharga RM2.50, jadi mengapalah peniaga-peniaga marhaen seperti kami ini dikawal seolah-olah melakukan kesalahan besar.

Sedangkan tidak jauh daripada sekolah-sekolah tempat saya berniaga terdapat banyak lagi kedai-kedai makan yang diusahakan oleh warga asing. Warung pula terang-terangan menggunakan tapak meletak kereta. Mengapa pemilik-pemilik warung berkenaan tidak diperiksa sekerap kami? Gangguan daripada penguatkuasa DBKL kepada penjaja seperti kami bukan baru. Sudah berpuluh tahun saya menjaja tetapi senario gangguan masih sama.

Banyak sangatkah kesalahan yang dilakukan penjaja seperti kami sehingga DBKL tidak nampak 'pesalah' lain. Atau mungkinkah penjaja seperti kami ini mudah di jadi kan sasaran?